PUTRAJAYA: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) disaran agar memainkan peranan dengan menepis provokasi orang ramai yang mendesak Sarawak keluar dari Malaysia sebagai bantahan terhadap isu hak kawalan minyak dan gas membabitkan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dan Petroleum Sarawak Berhad (Petros).
Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof menegaskan, Sarawak akan terus kekal dalam Malaysia dan menggesa orang ramai agar menghentikan provokasi itu.
Katanya, sentimen negatif berkenaan akan menjejaskan keyakinan pelabur dan akhirnya merugikan kerajaan.
“Jadi kita perlu tanganinya. UKAS perlu memainkan peranan untuk memaklumkan orang ramai, kita tidak perlu pergi sejauh itu, dan masih kekal dalam Malaysia
“Justeru, saya mahu agar suara-suara negatif ini dikurangkan sebab pelabur akan mula kurang yakin dengan kita,” ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa menerima kunjungan hormat delegasi UKAS diketuai Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi), Datu Hii Chang Kee di pjabat kementeriannya di sini hari ini.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) menambah Petronas dan Petros secara prinsipnya bersetuju menyelesaikan isu itu melalui perjanjian secara komersial berbanding perundangan.
Tegasnya, penyelesaian secara undang-undang semata-mata tidak akan dapat menyelesaikan isu berkenaan, sebaliknya menuntut semangat kerjasama antara Petros dan Petronas demi untuk manfaat negara.
“Justeru, solusi terbaik adalah melalui perjanjian komersial, atau situasi ‘menang-menang’ antara persekutuan dan negeri. Secara prinsipnya, penyelesaian ini telah dipersetujui.
“Cadangan saya adalah agar PMX, Premier Sarawak, Peguam Negara dan Peguam Negeri, CEO Petronas dan CEO Petros duduk bersama, buat perjanjian yang dipersetujui bersama secara prinsip untuk jalinan kerjasama yang lebih baik,” tambahnya lagi.
Sementara itu, beliau turut memohon bantuan UKAS untuk melakukan kajian semasa berlangsung sesi Persidangan Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
Katanya, bantuan UKAS sangat diperlukan kerana pihak persekutuan tidak mempunyai banyak informasi mengenai Sarawak.
Turut hadir dalam kunjungan hormat tersebut ialah Pengarah UKAS Awang Putrayusrie Awang Redzuan, Pegawai Tadbir Khas UKAS Datu Takun Sunggah serta pegawai-pegawai kanan UKAS.